Ahad, 6 September 2009

Sejarah Penubuhan SKTS

SEJARAH SEKOLAH SK TAWAKAL SATAP, SUBIS
SK. Tawakal Satap, Subis telah ditubuhkan pada tahun 1959. Tapak asal sekolah ini terletak di tebingan Sungai Kampung Satap. Pada awal penubuhan sekolah ini, ia hanya diperbuat daripada nipah. Pada waktu itu, sekolah ini hanya mempunyai seorang guru dan dua puluh dua orang murid sahaja. Walau bagaimanapun, sekolah ini pada masa itu belum lagi diiktiraf pendaftarannya oleh Majlis Perbandaran.
Penduduk kampung yang berada di sekitar sekolah ini masih menunggu keputusan pihak berkuasa untuk mendaftarkan nama sekolah ini. Penantian penduduk kampung berakhir apabila pendaftaran sekolah ini diluluskan. Nama sekolah ini setelah didaftarkan ialah Tawakal Malay Satap School. Nama ‘Tawakal’ pada nama sekolah ini diambil sempena kesabaran dan sikap bertawakal penduduk kampung semasa menunggu nama sekolah Tawakal Satap didaftarkan pada waktu itu.
Tawakal Malay Satap School telah dipindahkan ke tapak baru atas alasan tapak lama tidak strategik kerana berhampiran dengan sungai. Kerajaan Negeri telah memindahkan sekolah ini ke tapak baru yang terletak di tepi jalan Bekenu, Miri. Dengan tertubuhnya sekolah ini di tapak baru, maka namanya telah ditukarkan kepada Sekolah Rendah Kerajaan Tawakal Satap. Walau bagaimanapun, pada tahun 1999 semua sekolah SRK telah ditukar kepada SK (Sekolah Kebangsaan). Oleh sebab itu, nama sekolah ini sehingga sekarang ialah SK. Tawakal Satap, Subis, Bekenu. Antara Guru Besar yang pernah berkhidmat di sekolah ini ialah Othman b. Hj Sebli (1959-1960), Rapaee b. Saat (1960-1964), Morshidi b. Nani (1965-1969), Othman b. Matsah (1970-1972), Abidin b. Deris (1973-1975), Salleh b. Hj Salman (1976-1978), Solhi b. Pangis (1979-1986),Abd Hadi b. Abd Rahman (1987), Osmat b. Hj Amit (1988-1996), Nawi b. Suhaidi (1997), Salhi b. Ali (1998) , Sahat b. Yakup (1999-2003),Yusof b.Hj.Abas(2004),Hj.Said bin Hj.Matzin(2005 hingga sekarang)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan