Khamis, 17 Mac 2011

Kelas Dalam Cuti Tahun 6


Salam SKTS, Kelas Dalam Cuti (KDP) Tahun 6 telah bermula pada Isnin lepas dan akan berakhir pada hari ini. Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang terlibat secara langsung dalam program akademik ini. Begitu juga dengan guru yang terlibat dalam Kelas Bimbingan LINUS untuk murid Tahun 1. Di samping itu, siri latihan olahraga juga diadakan bersempena MSSR yang akan diadakan pada minggu hadapan. Terima kasih banyak-banyak kita ucapkan kepada ahli olahraga sekolah, PKK Koko dan guru yang terlibat. Begitu juga dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke semua program berkenaan.
Moga kecemerlangan akan diteruskan pada tahun 2011.

Jumaat, 4 Mac 2011

Ujian Bulanan 1 SKTS 2011




Salam SKTS, Ujian Bulanan 1 SKTS akan diadakan mengikut Jadual yang disertakan, harap maklum.


Khamis, 3 Mac 2011

Contoh Sijil Penghargaan Sempena Lawatan TMP2



Salam SKTS, kelmarin kita telah menerima sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Tuan Guru Besar SKTS, En Jokdin Bin Abdullah. Sijil penghargaan ini amat bermakna kerana ia menunjukkan penghargaan tidak berbelah bahagi KPM terhadap jasa dan pengorbanan guru yang bertungkus lumus berusaha untuk meningkatkan prestasi secara menyeluruh sesebuah sekolah itu khususnya SKTS. Apatah lagi dengan julung kali dilawati oleh Timbalan Menteri Pelajaran, kita berharap ia dapat menyuntik semangat baru seiring dengan 'New Deal' yang diwar-warkan. Harapan, impian dan keinginan pastinya dapat direalisasi bila kita bergerak sederap dan sejalan menuju cita-cita kecemerlangan.

Ilmi pelita hidup

Selasa, 1 Mac 2011

Terima Kasih TMP II


Salam SKTS, Lawatan TMP II, YB Dr Hj Mohd Puad Zarkashi yang dikatakan terbatal tempohari akibat jadual yang padat telah mengalami perubahan yang menggembirakan warga SKTS dan ibu bapa serta ahli PIBG. Kehadiran beliau dan rombongan sekitar jam 11 pagi tadi telah membuka lembaran baru dalam lipatan sejarah SKTS di mana ahli-ahli Yang Berhormat telah sama hadir dan melihat prasarana sekolah dengan lebih dekat lagi. Bagi kami, peluang ini bukan datang selalu dan kami ingin mengucapkan terima kasih sekalung budi kerana sudi ke SKTS. Di samping kehadiran Yang berhormat, kita juga telah menerima plak dan sijil bersempena kehadiran TMP II dalam lawatan pada kali ini.
Akhir kata, kita ingin mengucapkan syabas dan tahniah di atas kerjasama yang tidak berbelah bahagi baik dari pihak Pejabat Pelajaran Daerah Subis, Warga SKTS, serta ahli PIBG yang sentiasa menyokong dan membantu dalam persediaan lawatan ini. Hanya Tuhan yang mampu membalas budi baik tuan/puan.

Ahad, 27 Februari 2011

Selamat Datang TMP II?


Salam SKTS, bulan-bulan yang lepas menyaksikan kita mempamer kekuatan Badang, mengangkat dan membasah keringat untuk memastikan kita bersedia dengan kehadiran para pelawat ke SKTS. Suatu yang menarik di sini, di komuniti kecil ini, di kampung di sudut luar bandar ini, adalah komitmen tidak berbelah bahagi ahli-ahli setempat, membanting tulang, membantu sekolah dalam apa saja program yang dirancang baik dalam aktiviti tahunan mahupun perkara yang memerlukan tindakan semerta.
Penantian kehadiran Yang Berhormat ke sekolah bukan suatu yang baru. Banyak kali sudah SKTS dilawati oleh dif-dif kehormat ini, malah Pehin Sri Ketua Menteri Sarawak juga pernah ke sini dan sesungguhnya warga SKTS mengalu-alukan kehadiran semua ke sekolah yang permai ini. Begitu juga harapan kita dengan TMP II yang dikabarkan akan datang, paling tidak pun sebentar menjejak kaki di tanah bertuah tempat di mana bakti ditabur dan ilmu dicurah. Warga SKTS pastinya dalam rimas dan panas, dalam pagi dan petang, dalam ribut dan angin kencang, bersedia sentiasa menanti saat-saat bertemu dan berbicara. Moga pertemuan itu membuka lembaran baru sempena 50 tahun penubuhan SKTS.
Pastinya panorama SKTS kini sudah jauh berbeza. Baik datang ataupun tidak, kita telah berusaha membawa SKTS maju setapak lagi ke arah kecemerlangan 2011. Tahun ini pasti mencetus paradigma baru ke arah kesinambungan partisipasi masyarakat setempat dengan pihak sekolah bagi melicinkan usahasama berterusan, mencanang percaturan, membentang keindahan silaturahim, dan meniup angin semangat ke arah di mana kita semua berada. Maka di situlah nanti kita akan bersama mengibarkan bendera "kejayaan". Bahawa dalam setiap kepayahan dan kesukaran yang kita lalui, pasti ada yang dapat kita kecapi bersama. Insya-Allah.
Selamat datang kepada semua pelawat ke SKTS.

Rabu, 23 Februari 2011

Gotong-royong PIBG & Warga SKTS


Salam SKTS, Terima kasih kepada semua yang mengikuti gotong-royong kali ini. Walaupun sudah hampir jam 6 petang, masih lagi berusaha mengangkat rak untuk stor.

Warga SKTS 2011