Jumaat, 30 Oktober 2009

Kem Membaca 1 Malaysia 2009


Merujuk kepada program Kem Membaca 1 Malaysia seperti yang dilampirkan di sini, program ini dijalankan berdasarkan kehendak Jabatan dan pekeliling yang dihantar ke sekolah. Program ini telahpun dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kita berasa sungguh gembira kerana murid. guru dan ibu bapa menyokong penuh usaha sekolah menjayakan Kem Membaca 1 Malaysia ini, pelancaran akan dibuat pada hari ini dan kita ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Tn. Hj. Said Bin Hj. Matzin, Guru Besar SK Tawakal Satap kerana sudi memberi ucapan dan seterusnya merasmikan Kem Membaca peringkat sekolah ini pada hari ini.

Rabu, 30 September 2009

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 1430H

Salam lebaran kepada semua. Majlis ini akan diadakan pada Sabtu, 03 Oktober 2009M bersamaan dengan 14 Syawal 1430H di Dewan serbaguna SK Tawakal Satap bermula seawal pagi sehingga tengahari. Pihak sekolah dengan segala hormatnya menjemput semua warga SKTS, murid dan para ibu bapa/penjaga murid untuk sama-sama memeriahkan acara tersebut. Seperti pada tahun-tahun yang lepas, acara seperti ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua pihak. Semoga dengan adanya aktiviti seperti ini dapat mengeratkan tali persaudaraan dan silaturrahim warga SKTS dan penduduk setempat dalam merealisasikan visi dan misi sekolah amnya. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

Isnin, 28 September 2009

Guru dan Staf Khas 2009



Berikut adalah guru dan staf yang mempunyai tugas selain guru asas di sekolah, mereka juga menyumbang ke arah kecemerlangan sekolah. Bergerak sebagai satu pasukan, prestasi diutamakan.

Rabu, 23 September 2009

Weekly Activities for Post UPSR Students 2009





Berikut adalah tentatif program aktiviti Pasca UPSR 2009 murid Tahun 6. Kita berharap aktiviti berkenaan dapat dijalankan dan memberi manfaat kepada murid Tahun 6 sebagai persediaan ke sekolah menengah pada tahun hadapan di samping mengisi masa terluang selepas menduduki UPSR tempohari.

Khamis, 17 September 2009

Cuti Khas

Cuti Khas Untuk Semua Sekolah dan Institusi Pendidikan Di Bawah KPM Pada Hari Jumaat, 18 September 2009 Sempena Hari Raya Aidilfitri 1430H

1. Kabinet yang bermesyuarat pada hari ini, 16 September 2009, telah bersetuju untuk memberi Cuti Khas kepada semua Sekolah dan Institusi Pendidikan di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia pada hari Jumaat, 18 September 2009, sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang dijangka akan disambut pada hari Ahad 20 September atau hari Isnin 21 September 2009.
2. Keputusan ini diambil bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya.
3. Dengan keputusan Kabinet ini maka semua arahan Kementerian Pelajaran berkaitan Cuti Tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri 1430H sebelum ini adalah terbatal.

YAB Menteri Pelajaran MalaysiaPutrajaya, 16 September 2009

Rabu, 16 September 2009

PROTIM Tahun 6 2009

Pra-Ujian PROTIM berlangsung pada 14-15 September 2009, dua murid Tahun 6 diuji untuk pra-ujian ini dan alhamdulillah kedua-duanya lulus melebihi 80% bagi kemahiran membaca, menulis dan mengira. Jadi program PROTIM tidak dilaksanakan untuk persediaan Pasca-Ujian nanti. Usaha pihak sekolah sekarang ialah untuk memastikan persediaan calon UPSR 2010 berjalan seawal mungkin agar sasaran kecemerlangan berterusan dan konsisten. Calon UPSR 2010 dalam daftar adalah seramai 7 orang. Moga-moga dengan usaha awal gerakan memperkasa prestasi akademik dan analisis pra-ujian, mereka ini juga dapat menyumbang dalam kecemerlangan sekolah...

Selasa, 15 September 2009

Salam lebaran


Hari yang dinanti semakin menjenguk semua warga SK Tawakal Satap, perjalanan kembali ke kampung masing-masing pastinya menggembirakan mereka yang berada di perantauan dan jauh dari sanak saudara, ibu dan bapa dan rakan taulan. Dikesempatan ini kita ingin memohon kemaafan jika ada salah dan silap sepanjang bersama dan bergurau senda. Kepada Cikgu Manikam, Cikgu Huzaifah, Ustazah Asma' dan Cikgu Busyra yang akan kembali ke Semenanjung Malaysia, semoga selamat dalam perjalanan dan jangan lupa membawa ole-ole sekembali semula ke sini. Kepada Cikgu Siti Zubaidah dan Cikgu Sabarina sekeluarga, semoga selamat dalam perjalanan ke Kuching, pandu cermat jiwa selamat. Kita juga mendoakan kegembiraan di hari raya kepada Tuan Hj Said serta keluarga, selamat berhari raya di Limbang. Tidak dilupakan kepada warga pendidik yang lain yang beraya di sini, sudi-sudikan datang ke rumah semasa raya nanti. Akhir kata, kami, warga SK tawakal Satap ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga pendidik beragama Islam di Daerah Subis...