Salam SKTS, bulan-bulan yang lepas menyaksikan kita mempamer kekuatan Badang, mengangkat dan membasah keringat untuk memastikan kita bersedia dengan kehadiran para pelawat ke SKTS. Suatu yang menarik di sini, di komuniti kecil ini, di kampung di sudut luar bandar ini, adalah komitmen tidak berbelah bahagi ahli-ahli setempat, membanting tulang, membantu sekolah dalam apa saja program yang dirancang baik dalam aktiviti tahunan mahupun perkara yang memerlukan tindakan semerta.
Penantian kehadiran Yang Berhormat ke sekolah bukan suatu yang baru. Banyak kali sudah SKTS dilawati oleh dif-dif kehormat ini, malah Pehin Sri Ketua Menteri Sarawak juga pernah ke sini dan sesungguhnya warga SKTS mengalu-alukan kehadiran semua ke sekolah yang permai ini. Begitu juga harapan kita dengan TMP II yang dikabarkan akan datang, paling tidak pun sebentar menjejak kaki di tanah bertuah tempat di mana bakti ditabur dan ilmu dicurah. Warga SKTS pastinya dalam rimas dan panas, dalam pagi dan petang, dalam ribut dan angin kencang, bersedia sentiasa menanti saat-saat bertemu dan berbicara. Moga pertemuan itu membuka lembaran baru sempena 50 tahun penubuhan SKTS.
Pastinya panorama SKTS kini sudah jauh berbeza. Baik datang ataupun tidak, kita telah berusaha membawa SKTS maju setapak lagi ke arah kecemerlangan 2011. Tahun ini pasti mencetus paradigma baru ke arah kesinambungan partisipasi masyarakat setempat dengan pihak sekolah bagi melicinkan usahasama berterusan, mencanang percaturan, membentang keindahan silaturahim, dan meniup angin semangat ke arah di mana kita semua berada. Maka di situlah nanti kita akan bersama mengibarkan bendera "kejayaan". Bahawa dalam setiap kepayahan dan kesukaran yang kita lalui, pasti ada yang dapat kita kecapi bersama. Insya-Allah.
Selamat datang kepada semua pelawat ke SKTS.