Khamis, 17 Mac 2011

Kelas Dalam Cuti Tahun 6


Salam SKTS, Kelas Dalam Cuti (KDP) Tahun 6 telah bermula pada Isnin lepas dan akan berakhir pada hari ini. Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang terlibat secara langsung dalam program akademik ini. Begitu juga dengan guru yang terlibat dalam Kelas Bimbingan LINUS untuk murid Tahun 1. Di samping itu, siri latihan olahraga juga diadakan bersempena MSSR yang akan diadakan pada minggu hadapan. Terima kasih banyak-banyak kita ucapkan kepada ahli olahraga sekolah, PKK Koko dan guru yang terlibat. Begitu juga dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke semua program berkenaan.
Moga kecemerlangan akan diteruskan pada tahun 2011.

Jumaat, 4 Mac 2011

Ujian Bulanan 1 SKTS 2011




Salam SKTS, Ujian Bulanan 1 SKTS akan diadakan mengikut Jadual yang disertakan, harap maklum.


Khamis, 3 Mac 2011

Contoh Sijil Penghargaan Sempena Lawatan TMP2



Salam SKTS, kelmarin kita telah menerima sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Tuan Guru Besar SKTS, En Jokdin Bin Abdullah. Sijil penghargaan ini amat bermakna kerana ia menunjukkan penghargaan tidak berbelah bahagi KPM terhadap jasa dan pengorbanan guru yang bertungkus lumus berusaha untuk meningkatkan prestasi secara menyeluruh sesebuah sekolah itu khususnya SKTS. Apatah lagi dengan julung kali dilawati oleh Timbalan Menteri Pelajaran, kita berharap ia dapat menyuntik semangat baru seiring dengan 'New Deal' yang diwar-warkan. Harapan, impian dan keinginan pastinya dapat direalisasi bila kita bergerak sederap dan sejalan menuju cita-cita kecemerlangan.

Ilmi pelita hidup

Selasa, 1 Mac 2011

Terima Kasih TMP II


Salam SKTS, Lawatan TMP II, YB Dr Hj Mohd Puad Zarkashi yang dikatakan terbatal tempohari akibat jadual yang padat telah mengalami perubahan yang menggembirakan warga SKTS dan ibu bapa serta ahli PIBG. Kehadiran beliau dan rombongan sekitar jam 11 pagi tadi telah membuka lembaran baru dalam lipatan sejarah SKTS di mana ahli-ahli Yang Berhormat telah sama hadir dan melihat prasarana sekolah dengan lebih dekat lagi. Bagi kami, peluang ini bukan datang selalu dan kami ingin mengucapkan terima kasih sekalung budi kerana sudi ke SKTS. Di samping kehadiran Yang berhormat, kita juga telah menerima plak dan sijil bersempena kehadiran TMP II dalam lawatan pada kali ini.
Akhir kata, kita ingin mengucapkan syabas dan tahniah di atas kerjasama yang tidak berbelah bahagi baik dari pihak Pejabat Pelajaran Daerah Subis, Warga SKTS, serta ahli PIBG yang sentiasa menyokong dan membantu dalam persediaan lawatan ini. Hanya Tuhan yang mampu membalas budi baik tuan/puan.

Ahad, 27 Februari 2011

Selamat Datang TMP II?


Salam SKTS, bulan-bulan yang lepas menyaksikan kita mempamer kekuatan Badang, mengangkat dan membasah keringat untuk memastikan kita bersedia dengan kehadiran para pelawat ke SKTS. Suatu yang menarik di sini, di komuniti kecil ini, di kampung di sudut luar bandar ini, adalah komitmen tidak berbelah bahagi ahli-ahli setempat, membanting tulang, membantu sekolah dalam apa saja program yang dirancang baik dalam aktiviti tahunan mahupun perkara yang memerlukan tindakan semerta.
Penantian kehadiran Yang Berhormat ke sekolah bukan suatu yang baru. Banyak kali sudah SKTS dilawati oleh dif-dif kehormat ini, malah Pehin Sri Ketua Menteri Sarawak juga pernah ke sini dan sesungguhnya warga SKTS mengalu-alukan kehadiran semua ke sekolah yang permai ini. Begitu juga harapan kita dengan TMP II yang dikabarkan akan datang, paling tidak pun sebentar menjejak kaki di tanah bertuah tempat di mana bakti ditabur dan ilmu dicurah. Warga SKTS pastinya dalam rimas dan panas, dalam pagi dan petang, dalam ribut dan angin kencang, bersedia sentiasa menanti saat-saat bertemu dan berbicara. Moga pertemuan itu membuka lembaran baru sempena 50 tahun penubuhan SKTS.
Pastinya panorama SKTS kini sudah jauh berbeza. Baik datang ataupun tidak, kita telah berusaha membawa SKTS maju setapak lagi ke arah kecemerlangan 2011. Tahun ini pasti mencetus paradigma baru ke arah kesinambungan partisipasi masyarakat setempat dengan pihak sekolah bagi melicinkan usahasama berterusan, mencanang percaturan, membentang keindahan silaturahim, dan meniup angin semangat ke arah di mana kita semua berada. Maka di situlah nanti kita akan bersama mengibarkan bendera "kejayaan". Bahawa dalam setiap kepayahan dan kesukaran yang kita lalui, pasti ada yang dapat kita kecapi bersama. Insya-Allah.
Selamat datang kepada semua pelawat ke SKTS.

Rabu, 23 Februari 2011

Gotong-royong PIBG & Warga SKTS


Salam SKTS, Terima kasih kepada semua yang mengikuti gotong-royong kali ini. Walaupun sudah hampir jam 6 petang, masih lagi berusaha mengangkat rak untuk stor.

Warga SKTS 2011


Sabtu, 12 Februari 2011

Selamat Bertugas di SKTS


Salam SKTS. Kita ingin mengucapkan selamat bertugas di SKTS pada Cik Dayang Hamizza Binti Awang Daud dan Cik Ashlyne Alvin Ak Nyaut. Kedua-duanya telah melapor diri dan mula bertugas sejak Januari tadi. Cikgu Dayang Hamizza adalah lulusan Sarjana Muda Pra-sekolah dari USM P.Pinang manakala Cikgu Ashlyne adalah lulusan Sarjana Muda Financing dari UiTM Asajaya. Moga dengan kehadiran mereka akan meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa dan memastikan visi dan misi sekolah dapat dicapai.

Selasa, 8 Februari 2011

Ahad, 6 Februari 2011

Cadangan Borang Pendaftaran Keahlian Alumni SKTS


Salam SKTS, berikut adalah cadangan borang keahlian Alumni SKTS. Kita sekarang sedang aktif merangka dan menubuhkan JK Penaja dan mendraf Perlembagaan Alumni, sila layari facebook SKTS untuk maklumat terkini. Kita ingin merealisasikan penubuhan ini sebelum Jubli Emas SKTS pada 1 September 2011. Moga ia akan membuka llembaran baru ke arah membawa SKTS selangkah ke depan menuju kecemerlangan.

Jumaat, 4 Februari 2011

Mesyuarat Agung PIBG Bil.1/2011


Salam SKTS, Mesyuarat Agung PIBG Bil.1/2011 telah diadakan dengan jayanya. Membincangkan antara lain pembubaran AJK PIBG 2009-2010 dan perlantikan AJK PIBG 2011-2012. Antara agenda lain adalah Lawatan Menteri dan Timbalan Menteri Pelajaran ke sekolah pada Februari ini, Jubli Emas 50 tahun SKTS dan Penubuhan Alumni SKTS. Sila layari Facebook sekolah untuk maklumat lanjut.
Kita juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tn. Hj. Said Bin Hj. Matzin di atas usaha beliau mendaftar PIBG SKTS pada tahun 2009. Ini pastinya membawa PIBG lebih berani lagi dalam menyusun atur aktivitinya tanpa rasa takut dan resah kerana telah didaftar dan sah di bawah undang-undang. Terima kasih dari kami semua.

Isnin, 31 Januari 2011

Mesyuarat Agung PIBG 2011

Salam SKTS beserta ini dipaparkan contoh memo tentang perkara tersebut di atas, diharap ibu bapa guru dapat hadir dan memberi sumbangan yang bersepadu dan membina semasa mesyuarat berkenaan dijalankan. Harap maklum


"Ilmu itu Pelita"

Rabu, 26 Januari 2011

Wajah-Wajah Baru Prasarana Sekolah


Slm SKTS, pembinaan Bangunan Pra-sekolah yang baru sedang giat dijalankan sebermula awal Januari ini di samping projek membina Bangunan Makmal Komputer yang juga akan dibina kemudiannya. Namun demikian, suatu yang ditunggu-tunggu mungkin adalah pengumuman pembinaan bangunan baru blok sekolah seperti yang diwar2kan akan dirasmikan oleh TPM sedikit masa lagi. Pastinya ini akan membawa makna baru dan lanskap baru kepada sekolah dan masyarakat setempat. 2011 pastinya membawa wajah2 baru kepada panorama sekolah. Moga ini akan mencetus paradigma baru dan menganjakkan visi dan misi sekolah ke arah kecemerlangan serba berani dan dan berhalatuju.

Ahad, 23 Januari 2011

Welcome to Facebook


Salam SKTS, Nampaknya SKTS maju selangkah lagi ke hadapan dengan melancarkan capaian maklumat terkini SKTS di Facebook. Sempena Jubli Emas yang akan datang, kita berharap mendapat sokongan semua baik PIBG, warga SKTS lebih2 lagi bekas2 pelajar SKTS untuk menjadikan 2011 bermakna dan ceria. Marilah sama2 kita mencipta sejarah pada tahun ini.
Bersama seiring, seia dan sekata mencapai kecemerlangan dalam UPSR 2011

Khamis, 13 Januari 2011

Pergi dengan 1001 Kenangan


Majlis perpisahan berlangsung dengan suasana sayu dan sebak, apatah lagi lagi apabila kita menayangkan montage pendek untuk memaparkan pencapaian beliau sepanjang 6 tahun berada di SKTS. Memang tidak dinafikan, kita begitu dekat dengan beliau. Selama berada di sini beliau telah menambat hati kakitangan dan ibu bapa murid dengan ramah dan senda guraunya, begitu juga dengan ketegasannya untuk memastikan SKTS cemerlang dalam segenap bidang baik akademik mahupun kokurikulum.
Tiada kata yang dapat menghuraikan kesedihan di atas pemergian beliau, tetapi pastinya kebenaran sejak azali sudah nyata, yang datang pasti akan pergi. Selamat jalan Tn Hj Said dan keluarga. Pada ruang masa dan waktu yang lain pastinya kita akan bersua semula.

2005-2011 Dalam Kenangan

Salam SKTS, hari ini rasmilah Tn Hj. Said Bin Hj., Matzin menyerahkan tugas sebagai Guru Besar kepada En Jokdin Bin Abdullah, Guru Besar SKTS yang baru. Kita ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak berbelah bahagi di atas perkhidmatan cemerlang beliau selama berada di sini.
Tidak dilupakan juga ucapan ini ditujukan kepada seluruh ahli keluarga beliau. Moga-moga pada hari yang mendatang tali persahabatan akan mekar dan berbunga seperti gembiranya kami sepanjang beliau mentadbir SKTS. Tiada kegembiraan yang dapat menyelubungi kesedihan ini, tapi percayalah, pastinya suatu waktu kita akan bertemu semula dalam suasana sedia ada dan kembali mendendang gelak ketawa dan perkabaran ceria di manapun ia akan terjadi.
Selamat jalan dan selamat berkhidmat di stesyen yang baru.